Beberapa lokasi di ibu kota dilanda banjir selepas hujan lebat lebih dua jam bermula 3.40 petang hari ini. FOTO ihsan APM
Beberapa lokasi di ibu kota dilanda banjir selepas hujan lebat lebih dua jam bermula 3.40 petang hari ini. FOTO ihsan APM
Norizuan Shamsuddin


HUJAN lebat selama dua jam bermula 3.40 petang, hari ini menyebabkan beberapa lokasi di sekitar ibu kota dilanda banjir kilat.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, hujan lebat itu menyebabkan sebahagian laluan membabitkan Jalan Genting Klang, Jalan Kuching, Jalan Semantan, Jalan Maarof, Jalan Dutamas serta Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) dilimpahi air.

"Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang ini keadaan dilaporkan masih terkawal dan hanya laluan dari Jalan Genting Klang ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)melalui terowong ditutup buat sementara waktu akibat banjir kilat.

"Kenderaan dari Jalan Genting Klang ke PWTC diminta menggunakan laluan Bulatan Jalan Pahang sebagai Alternatif.

"Manakala paras air sungai dan ampangan sekitar ibu kota membabitkan membabitkan laluan Jambatan Sulaiman, Jambatan Tun Perak, Kampung Berembang, Jalan Parlimen, Taman Cuepacs, Lebuh Pasar, Kampung Cheras Baru, Jalan Tun Razak ke Sungai Bunus, Jambatan Petaling, Kilometer 11 Gombak, Empangan Klang, Empangan Batu dan Jalan Tun Razak Sungai Gombak dilaporkan masih terkawal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 7:19 PM