ANTARA kereta rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di sekitar ibu negara, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANTARA kereta rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di sekitar ibu negara, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Norizuan Shamsuddin


SEBANYAK 14 kenderaan dilaporkan rosak akibat kejadian pokok tumbang susulan hujan lebat dan ribut di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima enam laporan berhubung kejadian pokok tumbang susulan hujan dan ribut pada 3.30 petang.

Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku di belakang Apartmen Putra Majestic (Jalan Ipoh), Arata Kondominium (Jalan Tunku), Institut Penyelidikan Perubatan (Jalan Pahang), Jalan Kolam Air 4, Bukit Jalil dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kami turut mengarahkan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Jalan Tun Razak, BBP Jinjang dan BBP Bukit Jalil untuk ke lokasi bagi bantuan pembersihan pokok tumbang di lima terbabit.

“Anggota memotong dan mengalihkan pokok tumbang dan seterusnya memastikan kawasan dalam keadaan selamat dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Tiada mangsa dilaporkan cedera akibat kejadian pokok tumbang terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, jurucakap JBPM Selangor memaklumkan pihaknya menerima lima laporan kejadian banjir kilat susulan hujan berlaku di sekitar negeri terbabit bermula 4 petang.

“Banjir kilat dilaporkan berlaku di stesen transit aliran massa (MRT) Awan Besar, Jalan SK9, Seri Serdang, Sungai Besi Indah, Besraya dan stesen komuter Serdang.

“Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa laluan akibat dinaiki air,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika dihubungi memaklumkan kejadian banjir kilat turut menyebabkan laluan landasan komuter dari Stesen Kajang ke Serdang dan laluan Batu Caves ke Pulau Sebang dinaiki air. “Laluan terbabit dijangka mengalami kelewatan 30 hingga 40 minit daripada jadual asal.

“Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB yang beroperasi 24 jam di talian 03-22671200.

"Pihak KTMB memohon maaf atas kesulitan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 8:19 PM