Orang ramai berurusan di kaunter pasport Jabatan Imigresen, Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Orang ramai berurusan di kaunter pasport Jabatan Imigresen, Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) memperkenalkan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang menawarkan perkhidmatan permohonan dan memperbaharui pasport untuk penduduk di luar bandar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat permulaan, perkhidmatan yang menggunakan bas itu tertumpu kepada urusan permohonan dan memperbaharui pasport, kaunter pertanyaan dan semakan senarai hitam.

Katanya, Mobile CTC dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak semalam.

"Objektif utama kita adalah memudahkan penduduk di luar bandar dan pedalaman yang sukar mendapatkan perkhidmatan kami. Kami tidak tunggu rakyat datang, tetapi kami sendiri yang hadir ke tempat mereka untuk memberikan perkhidmatan.

"Mobile CTC ini dilengkapi sistem seperti di pejabat JIM. Kita menempatkan enam hingga lapan pegawai yang cekap bagi melaksanakan perkhidmatan ditawarkan termasuk mampu menjawab pelbagai soalan masyarakat berkaitan jabatan setiap hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya hari ini.

Mustafar berkata, Mobile CTC akan digerakkan ke kawasan yang tidak mempunyai pejabat JIM atau mendapat permintaan dalam kumpulan yang ramai untuk membuat permohonan pasport seperti di universiti.

Beliau berkata, perkhidmatan itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan permohonan pasport boleh disiapkan dalam tempoh satu jam.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini dokumen pasport yang sudah siap diproses hanya boleh dituntut di pejabat JIM berdekatan atau mana-mana cawangan JIM yang dipilih oleh pelanggan.

"Ketika ini, Mobile CTC belum dapat mencetak pasport di atas bas atas faktor teknikal, tetapi perkara itu sedang diselesaikan dalam waktu terdekat bagi membolehkan pelanggan terus mendapat pasport di situ.

"Dalam usaha kita memudahkan orang ramai dalam urusan permohonan pasport, tetapi kita tidak pernah berkompromi mengenai keselamatan dan proses dilaksanakan dengan teliti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 4:31 PM