Rokaid Chik

Pasir Puteh: Bayaran ‘bonus khas’ hari raya kepada kakitangan awam belum diputuskan oleh kerajaan seperti dihebohkan di media sosial.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, permintaan bonus itu masih dalam penelitian di peringkat Kementerian Kewangan.

Katanya, bayaran khas hari raya itu masih dalam penelitian dan sedang dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melihat kedudukan kewangan kerajaan.

“Perdana Menteri sendiri akan membuat keputusan dan pengumuman rasmi berkaitan bayaran itu,” katanya ketika ditemui selepas Program Mobile Community Transformation Centre (Mobil CTC), di Padang Awam Selising, di sini, semalam.

Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkili Ali itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustafa.

Beliau mengulas isu bayaran khas hari raya yang kini menjadi viral di media sosial dan mendakwa bayaran akan dibuat kerajaan pada 1 Julai depan serentak dengan bonus perkhidmatan awam sebulan gaji.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda memohon supaya kerajaan memberi bonus satu bulan gaji kepada penjawat awam bagi persediaan menyambut Aidilfitri Julai depan.

Dalam perkembangan lain Irwan berkata, kerajaan mahu memastikan semua bentuk bantuan kewangan dan perkhidmatan yang diwujudkan sampai kepada rakyat.

“Tidak kira apa cara kita buat, yang penting sampai kepada rakyat. Misalnya, bantuan wang ihsan untuk rakyat Kelantan, kita (Kerajaan Pusat) agihkan menerusi dua agensi iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak 50 peratus dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) 50 peratus.

“Kerajaan juga membina Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) untuk manfaat kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:10 AM