JAMIL (tengah) menunjukkan van bergerak TH Komuniti selepas majlis pelancaran di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, semalam.
JAMIL (tengah) menunjukkan van bergerak TH Komuniti selepas majlis pelancaran di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, semalam.
Nur Syazwana Mansor

Yan: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan mematuhi peraturan keluar masuk yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memudahkan urusan pemantauan pergerakan dan keselamatan mereka sepanjang musim haji pada tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jemaah haji dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan perhimpunan di luar daripada jadual ibadat haji terutama berunsur negatif bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Umat Islam perlu satu semangat dan kesepaduan serta melaksanakan ibadat dengan kesungguhan, tumpuan dan keikhlasan, jadi ruang kerajaan Arab Saudi mengawal keselamatan lebih mudah dan terjamin.

“Kami tidak mahu ada jemaah yang mengatur sendiri jadual kerana tindakan mereka itu menyukarkan TH menguruskan pergerakan jemaah (lain),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, semalam.

Pada majlis sama, Jamil Khir menyempurnakan pelancaran rasmi Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti iaitu inisiatif terbaru dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar atau jauh dari pejabat TH cawangan.

Menurutnya, jemaah negara juga perlu menyedari kawasan sensitif yang perlu dijauhi, malah elakkan pertemuan atau perhimpunan bukan bersifat ibadat haji.

Katanya, walaupun pernah berlaku serangan pengganas di Madinah sebelum ini, namun jemaah haji tidak perlu bimbang kerana kerajaan Arab Saudi mempertingkatkan keselamatan pada tahap maksimum.

Sementara itu, pelancaran Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti adalah tanda sokongan terhadap usaha kerajaan ‘merakyatkan perkhidmatan’ melalui program Mobile Community Transformation Centre (Mobile CTC).

“Sebanyak empat kenderaan Westar Maxus v80.2.5 Diesel Turbo disediakan iaitu dua di Semenanjung Malaysia dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak,” katanya.

.

“Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti ini disokong dengan pemasangan Very Small Aperture Terminal (VSAT) bagi membolehkan orang ramai berurusan secara online dan real-time selain membolehkan capaian jalur lebar dicapai walau di mana kenderaan itu berada,” katanya.

Katanya, sembilan perkhidmatan ditawarkan termasuk transaksi simpanan/pendaftaran ahli baru, transaksi pengeluaran, pendaftaran ahli Kelab TaHa, urusan berkaitan haji, gantian buku akaun simpanan, kemaskini maklumat pendeposit, pertukaran akaun kanak-kanak ke dewasa, permohonan pin mailer e-tHiJARI, dan permohonan penyata akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:29 AM