MOBILE CTC di Pasri Putih, Kelantan. Konsep seumpamanya diperkenalkan di Sungai Besar, Selangor. FAIL Syamsi Suhaimi.
MOBILE CTC di Pasri Putih, Kelantan. Konsep seumpamanya diperkenalkan di Sungai Besar, Selangor. FAIL Syamsi Suhaimi.


Sungai Besar: Sungai Besar dipilih lokasi pertama di Selangor bagi pelaksanaan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC).

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang melancarkan program pertama bagi 2016, di sini, hari ini berkata Mobile CTC bertujuan mendekatkan perkhidmatan penting seperti permohonan MyKad, lesen memandu dan pendaftaran syarikat kepada rakyat.

“Walaupun terdapat Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bandar besar dan juga Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di kawasan luar bandar, tidak semua penduduk dapat mengunjungi pusat berkenaan kerana faktor jarak serta masalah lain termasuk pengangkutan.

“Justeru, kami membawa perkhidmatan UTC dan RTC ini ke kawasan pedalaman melalui Mobile CTC,” katanya pada majlis perasmian program himpunan pengguna bersama KPDNKK dan Mobile CTC, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi.

Antara perkhidmatan yang disediakan pada program itu kali ini adalah perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan, Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Program berkenaan turut menyediakan platform untuk rakyat mendapatkan bantuan kerajaan yang disalurkan terus kepada kumpulan sasar selain memberi penerangan kepada rakyat mengenai dasar dan aktiviti melalui kementerian serta agensi kerajaan.

Program Mobile CTC ini dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang pada 1 Mac 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 9:01 PM