SAIFUDDIN memantau proses permohonan PMA di kaunter Pejabat JIM KLIA. FOTO Samadi Ahmad.
SAIFUDDIN memantau proses permohonan PMA di kaunter Pejabat JIM KLIA. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad

Sepang: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil inisiatif membuka 20 pejabat pengeluar pasport terpilih pada Sabtu dan Ahad bagi mengatasi isu kesesakan di kaunter bermula Sabtu depan sehingga kesesakan terkawal.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia dibuka bermula 8 pagi sehingga 12.30 tengahari manakala di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi sehingga 7 malam setiap hari.

Katanya, ia akan dibuka sehingga pukul 5 petang pada hari Sabtu dan Ahad kecuali UTC Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka sehingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.

Menurutnya, pemohon juga boleh memilih sama ada untuk terus ke kaunter-kaunter JIM bagi

urusan pembaharuan pasport atau membuat permohonan secara dalam talian.

Katanya, bagi pemohon yang berhasrat untuk memohon pasport pada hujung minggu mereka digalakkan untuk terus ke kaunter JIM yang dibuka manakala bagi pemohon yang berhasrat untuk memohon pasport pada hari Isnin hingga Jumaat digalakkan membuat permohonan secara dalam talian.

"Saya mengambil maklum akan keluhan rakyat berkaitan isu kesesakan pejabat pengeluar pasport, inisiatif ini adalah salah satu langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini,"katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pejabat Pengeluar Pasport Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pejabat pengeluar pasport yang akan dibuka itu seperti Menara Ikhlas, Putrajaya, Jalan Duta, Kuala Lumpur , Wangsa Maju,Shah Alam, Kelana Jaya, Kajang, Puchong, Setia Tropika, Johor Bharu,Kulai, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Pelabuhan Kelang,Kuala Selangor, Kuala Kubu Baru, Melaka ,Muar, Kluang,Batu Pahat,

Taiping,Teluk Intan dan Kulim, Kedah.

Saifuddin berkata, sepanjang tahun lalu JIM mengeluarkan 2,574,435 pasport iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah pasport yang dikeluarkan pada 2019 iaitu 2,006,208.

Katanya, sehingga Selasa lalu JIM meluluskan dan mengeluarkan sebanyak 156,711 pasport.

"Sebagai perbandingan,secara purata JIM mengeluarkan 210,000 pasport setiap bulan dengan pengeluaran harian sebanyak 10,000 pasport, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:00 PM