MRSM Gerik yang dilaporkan berlaku keracunan makanan. FOTO L.Manimaran
MRSM Gerik yang dilaporkan berlaku keracunan makanan. FOTO L.Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop

Gerik: Seramai 23 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, terpaksa dibawa menerima rawatan di hospital dan klinik swasta selepas dipercayai mengalami keracunan makanan ketika bersarapan, semalam.

Semua pelajar itu membabitkan 11 lelaki dan 12 perempuan mengalami gejala ringan seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas menikmati sarapan di asrama sekolah itu.

Difahamkan, sebahagian pelajar menerima rawatan pesakit luar di Hospital Gerik dan selebihnya ke klinik swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan Perak menerima laporan mengenai keracunan makanan itu daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, tiada pelajar dilaporkan dimasukkan ke wad kerana mereka hanya mengalami gejala ringan.

Katanya, tindakan diambil dengan menutup dapur asrama mengikut Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

“Punca keracunan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak.

“Selain menutup dapur asrama, kami juga mengambil tindakan memberi pendidikan kesihatan kepada pelajar dan warga sekolah,” katanya.

Difahamkan, pihak Hospital Gerik mengambil sampel daripada pelajar terbabit untuk pemeriksaan bagi mengetahui punca keracunan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:52 AM