LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat satu kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, kejadian ini mula dikesan semalam apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson.

"Sebanyak dua kes pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), lima kes dimasukkan ke wad biasa, dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

"Siasatan awal mendapati kesemua kes terdiri daripada beberapa keluarga yang berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang yang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, kesemua kes mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki, serta lemah otot.

"Terdapat dua kes juga dimasukkan ke ICU kerana mengalami gejala yang lebih teruk iaitu paralisis.

"Siasatan kejadian masih dijalankan oleh JKNNS bersama Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan beberapa sampel diambil untuk analisa makmal," katanya.

Dr. Harlina berkata, pemakluman kepada semua fasiliti kesihatan sudah dibuat untuk mengenalpasti kes yang mempunyai gejala yang sama dengan sejarah pengambilan kupang atau dwicengkerang lain.

"JKNNS akan terus memantau perkembangan terkini kejadian keracunan kupang ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama pelbagai agensi yang berkaitan.

"Orang ramai yang bergejala dan mempunyai sejarah memakan kupang atau dwicengkerang yang lain dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 8:10 PM