Ahmad Zahid menjamu selera nasi bungkus bersama Ahmad Bashah (kiri), Lim (dua kiri) dan Timbalan Menteri Luar Negara yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina. FOTO Ihsan Telegram Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid menjamu selera nasi bungkus bersama Ahmad Bashah (kiri), Lim (dua kiri) dan Timbalan Menteri Luar Negara yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina. FOTO Ihsan Telegram Ahmad Zahid Hamidi
Muhaamad Hafis Nawawi


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kagum dengan kerjasama yang terjalin antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu mangsa banjir di Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, semua pihak sanggup mengenepikan perbezaan warna politik demi memastikan usaha membantu mangsa banjir di Kedah dan Pulau Pinang berjalan lancar.

“Ini bukan sahaja untuk Kedah, tetapi juga untuk Pulau Pinang, tadi saya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan kini bersama MB (Menteri Besar) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula, malah MB Kedah pun ada di Kepala Batas (Pulau Pinang) tadi.

“Ini ertinya tak ada batas apabila berlaku bencana alam dan bagi saya kerjasama kali ini amat luar biasa malah saya ucapkan terima kasih kepada MB Kedah dan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungannya ke Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Dik, Kulim, hari ini.

Ahmad Zahid melihat kerjasama jabatan kerajaan dan agensi negeri bersama jabatan persekutuan terutama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sangat baik.

"Saya kagum walaupun terkejut dengan kejadian ini tetapi kesiapsiagaan memang dapat diterjemah sebaiknya," katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din, ketika berucap turut menzahirkan penghargaan bagi pihak mangsa yang terjejas atas kelulusan peruntukan RM2 juta untuk Taman Selasih.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 6:32 PM