AHMAD Bashah bersama ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (kanan) melepaskan sukarelawan misi Pasca Banjir ke Pulau Pinang. FOTO Amran Hamid
AHMAD Bashah bersama ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (kanan) melepaskan sukarelawan misi Pasca Banjir ke Pulau Pinang. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN negeri Kedah menghantar 200 Sukarelawan Muafakat Kedah bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata, sukarelawan ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat yang ikhlas melakukan kerja sukarelawan hingga ada yang sanggup mengambil cuti sehari untuk menyertai program ini.

Menurutnya, sukarelawan ini diketuai Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Daerah Sik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

"Mereka ini akan melakukan kerja pembersihan kawasan yang dikenal pasti memerlukan bantuan serta semua peralatan dan bantuan makanan juga sudah disediakan kerajaan negeri melalui sumbangan orang awam.

"Kita lihat bahawa apa berlaku membabitkan musibah rakyat di Pulau Pinang dan kita percaya ini satu bencana tanpa mengira ideologi politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pelepasan konvoi Sukarelawan Muafakat Kedah Sayangkan Pulau Pinang di perkarangan Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, walaupun Kedah turut menghadapi bencana yang sama tetapi sebagai prinsip kejiranan, pihaknya mahu membantu Pulau Pinang.

"Sepuluh unit jentera bomba sukarela, lengkap dengan peralatan kebombaan dan lain-lain kelengkapan diperlukan termasuk ubat-ubatan dibawa ke sana untuk membantu.

"Mereka akan membantu mangsa banjir dalam kerja pembersihan dan gotong-royong membabitkan premis kediaman di lokasi terjejas di Pulau Pinang khususnya di sekitar Seberang Perai, Batu Kawan dan Kepala Batas.

Sementara itu, Mahadzir berkata, misi bantuan akan melakukan proses pembersihan kawasan kediaman mangsa banjir.

"Pembersihan juga akan membabitkan surau dan sekolah yang terjejas malah kita akan mengagihkan bantuan seperti bekalan makanan kepada mangsa banjir.

"Selain sukarelawan BS1M misi pasca banjir itu akan turut membabitkan anggota Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) Sik serta Majlis Daerah Sik, dengan dikelolakan Pusat Khidmat ADUN Jeneri," katanya.

Selain itu, sukarelawan turut terdiri Belia 4B, Pemuda UMNO negeri dan syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman (E-Idaman).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 12:43 PM