Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Semua calon Umnno tetap akan menggunakan lambang dacing bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan namun calon Barisan Nasional (BN) kekal menggunakan lambang BN iaitu dacing.

"Kita sudah mengambil keputusan bahawa Umno akan tetap menggunakan lambang dacing (iaitu) lambang Barisan Nasional manakala parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan mereka akan gunakan lambang pilihan masing-masing.

"Namun, kita bergerak sebagai satu jentera… jentera kebersamaan antara parti-parti dalam jajahan itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi antara BN dan Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan secara formal belum dilakukan berhubung perkara berkenaan.

Sebelum ini, enam negeri dilaporkan sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Ia membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah Perikatan Nasional (PN).

AHMAD Zahid bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Maghrib pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al - Ansar Kem Sri Pantai, Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori.
AHMAD Zahid bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Maghrib pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al - Ansar Kem Sri Pantai, Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:35 PM