Anggota bomba memadam kebakaran  tangki menyimpan  diesel  kilang simen.
Anggota bomba memadam kebakaran tangki menyimpan diesel kilang simen.
Mohd Azam Shah Yaacob


Rawang: Tiga pekerja kilang simen di Jalan Kuala Garing yang dilaporkan hilang pada kejadian letupan tangki diesel kilang terbabit jam 4.15 petang semalam, disahkan meninggal dunia akibat terjatuh ke dalam tangki berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, semua mangsa adalah pekerja warga tempatan berusia 28 tahun, 35 tahun dan 49 tahun.

“Ketika kejadian, ketiga-tiganya melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki sebelum berlaku letupan yang menyebabkan mereka terjatuh ke dalam tangki itu.

“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selayang dan Batu Arang terbabit dalam operasi memadam kebakaran, ia membabitkan 30 anggota.

“Kebakaran dapat dipadamkan selepas 30 minit dan sehingga kini (jam 9 malam) kami dalam usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya ditemui di lokasi.

Menurut Mohd Sani, kerja mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa berikutan pengurusan kilang perlu mengepam dan memindahkan diesel dalam tangki itu.

“Tangki itu dipenuhi 750,000 liter diesel. Buat masa ini, kita perlu mengeringkannya terlebih dulu.

“Kerja ini memerlukan tujuh lori tangki yang perlu berulang-alik 25 kali bagi memuatkan semua diesel itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:55 AM