Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU lori tangki rentung apabila getah silikon yang digunakan ketika memindahkan diesel bocor menyebabkan berlaku letupan lalu terbakar dalam kejadian di sebuah kilang di Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi, mangsa G Anil, 22, sedang memindahkan diesel ke sebuah mesin stim makanan di bahagian belakang kilang membuat Dim Sum itu.

Pekerja kilang warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Saniri, 21, berkata ketika kejadian terdapat enam pekerja termasuk majikan yang juga pemilik kilang, Ling Hwa Yew, 51.

Katanya, ketika pemandu lori itu memindahkan atau mengisi diesel ke mesin berkenaan, dipercayai getah silikon bocor sebelum terdengar bunyi letupan.

“Ketika itu saya sedang memasak sayur berhampiran mesin dan lori berkenaan sebelum nampak api keluar dari bawah mesin. Saya terus memanggil bos (Hwa Yew) yang ketika itu berada di bahagian depan selepas melihat badan pemandu lori itu terbakar.

“Bos berlari ke arah mangsa untuk membantu, malangnya bos turut terkena api dan melecur,” katanya yang sudah setahun bekerja di kilang berkenaan.

Dalam kejadian itu, Hwa Yew melecur hampir 95 peratus dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Ahmad Murad Saat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.30 pagi sebelum tiba di lokasi, lima minit kemudian.

Menurutnya, kebakaran membabitkan 35 peratus bahagian belakang kilang setingkat serta lori yang membawa muatan kira-kira 5,000 liter diesel.

“Kami menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Johor Bahru dan Tebrau untuk mengawal kebakaran.

“Pada masa sama, kami terpaksa menggunakan buih kering untuk mengawal kebakaran ini kerana terdapat diesel. Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran dipercayai berlaku akibat percikan api disebabkan kebocoran getah silikon yang digunakan ketika proses pemindahan dilakukan.

“Kita dapati tiada unsur jenayah atau khianat. Kematian mangsa dalam kejadian ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 3:22 PM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kilang dan lori tangki di Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah kilang dan lori tangki di Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan JBPM