VAN Unit Forensik Bomba dan Penyelamat memasuki kilang simen  yang terbakar.
VAN Unit Forensik Bomba dan Penyelamat memasuki kilang simen yang terbakar.
 ANTARA 13 lori tangki minyak digunakan untuk memindahkan diesel.
ANTARA 13 lori tangki minyak digunakan untuk memindahkan diesel.
Mohd Azam Shah Yaacob dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Rawang: Selepas hampir 24 jam, akhirnya tiga mayat pekerja kilang simen yang terjatuh dalam tangki diesel akibat satu letupan ketika menjalankan kerja penyelenggaraan, kelmarin ditemui dalam operasi mencari semalam.

Mayat pertama yang dikenal pasti sebagai Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, ditemui pada jam 2.50 petang. Mayat kedua, Zamri Adenan, 35, pada jam 4.35 petang dan mayat terakhir Baskaran Thanakodi, 49, ditemui jam 6.09 petang.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, anggota bomba menemui mayat semua mangsa selepas menyedut keluar lebih 725,000 liter diesel yang dipindahkan menggunakan lori tangki.

Katanya, operasi pemindahan minyak dibuat bermula jam 9.45 malam kelmarin sehingga awal pagi dan disambung sehingga kira-kira jam 7 malam.

“Operasi memindahkan diesel mengambil masa hampir 20 jam dan mayat mangsa hanya dapat dikesan apabila diesel dalam tangki berada pada paras ketinggian 1.2 meter.

“Ketiga-tiga mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, sebanyak 13 lori tangki minyak digunakan untuk memindahkan diesel.

Katanya, keadaan minyak hitam dan banyak menyukarkan operasi bomba.

“Mangsa berusia 28 tahun bertugas sebagai penyelia kawasan, manakala dua mangsa berusia 35 dan 49 tahun bertugas sebagai juruteknik kilang.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, tiga pekerja tempatan yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan di tangki diesel terjatuh apabila berlaku satu letupan.

Tiga jentera dari Balai Bomba Rawang, Selayang dan Batu Arang dengan 30 anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Kebakaran dipadamkan selepas 30 minit dan usaha mengeluarkan mangsa dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 7:28 AM