Mohd Ziehafizan sepatutnya kahwin pada 25 Disember ini.
Mohd Ziehafizan sepatutnya kahwin pada 25 Disember ini.
Mohd Azam Shah Yaacob


"DIA sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember depan, tapi tak sangka hajatnya tak tercapai," kata Azmin Ab Rahman, 53, abang kepada Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam tragedi letupan tangki minyak di kilang simen, Jalan Kuala Garing, Rawang, petang semalam.

Menurut Azmin, arwah sudah bertunang hampir setahun lalu dan segala persiapan perkahwinan sudah disiapkan oleh arwah termasuk membeli barang hantaran.

"Kali terakhir arwah berjumpa kami adik beradik pada hujung bulan Oktober lalu dan seempat bermalam selama dua hari di rumah kami di Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir, Terengganu.

"Pada waktu itu, arwah memang teruja menunggu tarikh perkahwinannya selain berhajat untuk mengambil khidmat juruvideo ketika hari pernikahan nanti," katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Sungai Buloh.

Menurut Azmin, selain itu, arwah sempat menyerahkan borang kelulusan pernikahan kepadanya untul disemak serta ditandatangani.

"Waktu itu arwah tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik sebelum kejadian berlaku.

"Cuma, seperti biasa sebelum balik semula ke Rawang, dia ada meminta maaf kepada kami semua," katanya.

Azmin berkata, dia bersyukur apabila mayat adiknya selamat ditemui dalam keadaan sempurna tanpa ada kesan melecur mahupun luka dan jenazah dijangka dikebumikan di Kampung Banggol Pauh pagi esok sebaik dituntut.

Sementara itu, Nadia Musa, 35, isteri kepada Zamri Adenan, 37, reda apabila jenazah suaminya ditemui dan disahkan meninggal dunia.

Arwah meninggalkan isteri dan empat orang anak dan akan dikebumikan di tanah perkuburan di Saujana Rawang secepat mungkin sebaik selesai bedah siasat.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Terengganu (Perantau Lembah Klang)

Datuk Amlisani Abdul Latif berkata, kerajaan negeri akan menanggung kos penghantaran serta kos pengurusan jenazah Mohd Ziehafizan dan Zamri.

Berita berkaitan

Semua mayat ditemui

Mayat kedua ditemui

Mayat pertama ditemui

Tragedi tangki diesel kilang simen me

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 8:58 PM