Akibat mencuri motor, bekas banduan dikurung dalam kurungan ayam. FOTO ihsan pembaca
Akibat mencuri motor, bekas banduan dikurung dalam kurungan ayam. FOTO ihsan pembaca
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Bekas banduan yang baru setahun bebas, diikat dan dikurung dalam kurungan ayam oleh penduduk Kampung Bukit, Wakaf Bharu, di sini selepas ditangkap kerana mencuri motosikal jemaah.

Kejadian berlaku kira-kira 6.00 pagi hari ini ketika penduduk baru selesai menunaikan solat Subuh.

Seorang jemaah yang mahu dikenali Zamri, 40-an berkata, mereka melihat dua lelaki sedang menolak motosikal jenis Honda EX5 keluar dari pintu pagar masjid sebelum mengejar dan menangkap mereka.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri.

"Berang dengan tindakan lelaki itu, penduduk mengikatnya dan dia dikurung dalam sangkar ayam untuk seketika sebelum diikat pula pada sebatang pokok.

"Kira-kira 6.30 pagi, ada jemaah menghubungi polis untuk mengambilnya bawa ke balai polis," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek dibebaskan daripada Penjara Sungai Buloh, Selangor, Februari tahun lalu atas jenayah kekerasan dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:33 PM