SEBAHAGIAN PATI yang ditahan imigresen keranA melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam dua operasi di beberapa rumah kongsi di dua tapak pembinaan di sekitar pusat bandar. FOTO Shahrizal Md Noor
SEBAHAGIAN PATI yang ditahan imigresen keranA melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam dua operasi di beberapa rumah kongsi di dua tapak pembinaan di sekitar pusat bandar. FOTO Shahrizal Md Noor
Nordiana Shafiee


TIGA belas majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kedah didakwa di mahkamah sejak awal tahun ini hingga 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Zuhair Jamaluddin berkata, majikan yang didakwa itu didapati melindungi, mengupah dan membenarkan PATI menggunakan tempat mereka untuk berlindung atau bekerja dalam premis.

Menurutnya, 13 majikan terbabit adalah daripada 72 yang disiasat pihaknya sepanjang menjalankan Ops Bersepadu tahun ini membabitkan lebih 200 tapak pembinaan dan premis yang melindungi PATI berkenaan.

"Mana-mana majikan yang didapati melanggar peraturan imigresen, boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 bagi setiap PATI yang dilindungi, bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan terlebih dahulu.

"Kita mensasarkan majikan yang disyaki melindungi serta menggajikan pekerja asing yang mula berleluasa awal tahun ini, bagi memastikan mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja asing secara tidak sah, seterusnya melanggar peraturan imigresen," katanya selepas mengetuai Ops Mega yang disertai 36 anggota penguat kuasa Imigresen termasuk Agensi Kawasan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Alor Setar.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam itu, seramai 80 warga asing pelbagai warga negara diperiksa di beberapa rumah kongsi di dua tapak pembinaan berasingan di sekitar Alor Setar.

Zuhair berkata, hasil pemeriksaan mengesan 32 daripadanya yang terdiri 13 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, 13 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 19 hingga 50 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka ditahan kerana melakukan kesalahan menetap lebih masa dalam negara, tiada pas atau permit sah dan melanggar syarat sah pas mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) akta sama dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua PATI terbabit akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:57 PM