ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sekitar Alor Setar malam tadi. FOTO Ihsan JIM
ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sekitar Alor Setar malam tadi. FOTO Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman


HASRAT tujuh warga asing yang mahu menaiki bas ke Kuala Lumpur terbantut apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam operasi bersepadu, malam tadi.

Mereka adalah antara 14 warga asing yang ditahan selepas 16 anggota jabatan itu melakukan pemeriksaan terhadap 39 warga asing di premis perniagaan, kilang, rumah sewa dan terminal bas sekitar Bandaraya Alor Setar.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 10 malam hingga 3.30 pagi itu, seramai sembilan lelaki dan seorang wanita Myanmar serta masing-masing dua lelaki dan dua wanita Indonesia ditahan.

“Mereka yang ditahan di terminal bas ini dipercayai mahu Ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja, bagaimanapun semasa pemeriksaan dilakukan, mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah serta ada yang didapati tinggal lebih masa.

“Dalam operasi ini tiada yang cuba melarikan diri kerana tidak menyangka mereka akan didatangi anggota JIM yang berpakaian orang awam selain keadaan di terminal bas yang ramai orang.

“Operasi di kilang ais pula, JIM berjaya menahan enam lelaki Myanmar, manakala seorang lagi di rumah sewa. Mereka ditahan selepas melakukan kesalahan imigresen,” katanya, hari ini.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1(c) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa.

Katanya, ada antara mereka yang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah.

“Kesemua mereka berusia antara19 sehingga 57 tahun kemudian ditahandi lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigeresen, Belantik, Sik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 12:14 PM