FOTO Sharul Hafiz Zam
FOTO Sharul Hafiz Zam
Nordiana Shafiee


HANYA 5,061 permohonan E-Kad diterima Jabatan Imigresen Kedah sejak Februari lalu hingga tengah malam tadi daripada 1,127 majikan berbanding 10,000 yang disasarkan.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata, daripada jumlah itu, 112 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan jabatan itu.

"Kebanyakan majikan memberi alasan kekangan masa menyebabkan kegagalan untuk mendaftar pekerja warga asing mereka," katanya ditemui pada pemeriksaan pendatang tanpa izin (PATI) di tapak pembinaan rumah kedai di Ampang Jajar dan kilang gasket di Mergong, Alor Setar, hari ini.

Operasi dilakukan serentak di seluruh negara itu susulan tamatnya tempoh permohonan kad sementara (E-Kad) tengah malam tadi.

Sementara itu, Zuhair serbuan bermula jam 10.30 pagi dan disertai 26 anggota penguat kuasa pihaknya memeriksa 164 pekerja tempatan termasuk warga asing di dua lokasi berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tapak pembinaan rumah kedai itu mengesan 20 PATI lelaki pelbagai warganegara melakukan kesalahan imigresen.

"Mereka terdiri 14 warga Indonesia, lima warga Bangladesh dan seorang Myanmar berusia antara 21 hingga 55 tahun.

"Semua PATI ini melakukan kesalahan melanggar syarat pas diberikan, tidak mempunyai sebarang pas atau permit sah dan menetap lebih masa dalam negara.

"Bagaimanapun, pemeriksaan di kilang membuat gasket di Mergong mendapati 42 warga Nepal memiliki pas atau permit sah," katanya.

Zuhair berkata, turut ditahan seorang majikan lelaki berusia 33 tahun dipercayai menggaji pekerja asing yang melakukan kesalahan imigresen.

Menurutnya, mereka yang ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) (c) akta sama akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 2:05 PM