Pekerja asing terjun ke sawah bagi mengelak ditahan anggota Imigresen. (Gambar kanan) Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing yang ditahan di kawasan pembinaan di Jalan Langgar. FOTO  Noorazura Abdul Rahman dan ihsan Imigresen
Pekerja asing terjun ke sawah bagi mengelak ditahan anggota Imigresen. (Gambar kanan) Pegawai Imigresen memeriksa dokumen warga asing yang ditahan di kawasan pembinaan di Jalan Langgar. FOTO Noorazura Abdul Rahman dan ihsan Imigresen
Noorazura Abdul Rahman


JABATAN Imigresen Kedah menahan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di dua lokasi berasingan di tapak pembinaan di Alor Setar, hari ini.

Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula 10.30 pagi itu, anggota Imigresen dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memberkas dua PATI warga Indonesia dan dua PATI Bangladesh di lokasi pertama di tapak pembinaan pangsapuri.

"Lokasi kedua di tapak pembinaan taman perumahan yang tidak jauh dari lokasi pertama, seramai 17 PATI termasuk tiga wanita yang terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand ditahan.

"Terdapat beberapa pekerja asing di tapak berkenaan melarikan diri ke kawasan sawah selepas menyedari kehadiran anggota Imigresen, namun ada yang ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, semasa operasi itu, seramai 84 pekerja asing diperiksa namun hanya 21 yang ditahan.

Katanya, mereka yang berusia antara 23 hingga 48 tahun itu ditahan mengikut Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas dan disyaki bekerja menggunakan Pas Lawatan Sosial serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

"PATI itu ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 9:41 PM