SITI Aisyah (belakang) dan Doan (depan) dikawal oleh anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.
SITI Aisyah (belakang) dan Doan (depan) dikawal oleh anggota polis ketika keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Murni Wan Omar


Shah Alam: Perbicaraan kes pembunuhan Kim Chol atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam, berakhir semalam, selepas pihak pendakwaan selesai memanggil 34 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihaknya selesai memanggil saksi dan menutup kes mereka.

Pihaknya menawarkan 93 saksi untuk dipanggil pihak pembelaan antaranya ialah rakan sebilik tertuduh pertama Siti Aisyah, 26, pemandu peribadi dan kawan baik kepada Jong Nam sepanjang berada di Malaysia, pemandu ambulans ketika kejadian dan pekerja hotel tempat penginapan tertuduh kedua warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29.

Perbicaraan yang bermula 2 Oktober tahun lalu berlangsung selama 39 hari.

Hakim Datuk Azmi Ariffin memutuskan semua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 11 Jun dan menetapkan hujahan lisan dibuat bermula 27 Jun sehingga 29 Jun depan.

Sepanjang perbicaraan, 236 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah antaranya ialah pakaian yang dipakai ketika hari kejadian milik kedua-dua tertuduh dan mangsa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian. Antara saksi yang dipanggil adalah iaitu Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi Klinikal, Jabatan Kimia, Dr K Sharmilah, 38, dan Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia, Dr S Raja.

Sepanjang perbicaraan lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu Dr Raja bahawa insiden kematian Jong Nam disebabkan agen saraf VX adalah insiden kedua di dunia dan pertama di negara ini.

Disebabkan faktor keselamatan, proses pengecaman barang kes dalam perbicaraan ini dibuat di Jabatan Kimia Malaysia berikutan kesan agen saraf VX masih aktif dan dikhuatiri memudaratkan orang ramai jika dibuka di tempat terbuka.

Dr Raja melalui keterangannya mengesahkan bahawa racun agen saraf VX dikesan pada baju-T tanpa lengan dalam sampul dilabelkan Siti Aisyah dan baju-T putih dengan cetakan LOL di bahagian hadapan dilabelkan Thi Huong.

Sebelum kes ditutup, Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, sekali lagi dipanggil untuk menjawab soalan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan.

HISYAM: Setuju saya katakan bahawa pasport ini dirampas daripada Doan pada 15 Februari 2017 dan keterangan diambil pada 18 Februari 2017?

WAN AZIRUL: Ya, setuju.

HISYAM: Berdasarkan percakapan beramaran yang dirakam, tiada sebarang soalan berhubung pemergian Doan ke Jeju, Korea Selatan?

WAN AZIRUL: Saya setuju.

HISYAM: Tertuduh berada di Jeju selama empat hari dan tujuan dia ke sana adalah untuk berjumpa dengan teman lelakinya bernama Jun?

WAN AZIRUL: Saya tidak pasti.

Pada 1 Mac 2017 di Mahkamah Majistret Sepang, dekat sini, Siti Aisyah dan Doan didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, atau abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam di Balai Berlepas KLIA2, jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Empat lelaki itu adalah empat warga Korea Utara iaitu Hong Song Sac (Mr Chang), 34, Ri Ji Hyon (Mr Y), 33, Ri Jae Nam (Hanomori), 57, dan O Jong Dil (James), 55,

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:23 AM