DATUK Chuah Ghee Lye semasa sidang media pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara di IPD SPU, Kepala Batas, Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
DATUK Chuah Ghee Lye semasa sidang media pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara di IPD SPU, Kepala Batas, Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


SEBANYAK 224 pusat hiburan keluarga di seluruh negeri berada di bawah pemerhatian dan pemantauan Polis Pulau Pinang dalam usaha memastikan negeri itu bebas judi haram.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kesemua premis Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang berlesen itu dipantau dan diperiksa berkala agar ia tidak dijadikan lubuk perjudian.

Beliau berkata, pihaknya komited bagi menurut arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi memerangi kegiatan judi haram secara habis-habisan.

"Hampir setiap hari kami buat pemerhatian dan serbuan di pusat-pusat hiburan keluarga yang dipercayai ada unsur perjudian, tapi dalam tempoh seminggu ini apa yang saya lihat semua premis itu ditutup.

"Mereka beroperasi dengan lesen yang sah diperoleh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), cuma pendirian saya ialah kalau didapati mereka ini menjalankan kegiatan judi, kami akan ambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (1953) dan buat surat kepada PBT untuk tarik balik lesen," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Polis (Perkep) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, di sini.

Pada Majlis itu, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Polis Daerah SPU yang baru selepas tugas itu diserahkan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah SPU, Superintendan Abd Aziz Daud sambil disaksikan Chuah.

Noorzainy yang berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Jempol di Negeri Sembilan sebelum dinaikkan pangkat.

Turut berlangsung ialah acara serah terima tugas Pengerusi Perkep daripada Robiyah Abu kepada Nabiha Hashim sambil disaksikan Pengerusi Perkep negeri, Datin Kang Poh Chin.

Pada majlis itu juga , Chuah menyaksikan semua Ketua Polis Daerah di negeri ini menandatangani akur janji bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada judi haram.

Chuah berkata, pihaknya turut menyuarakan kebimbangan sekiranya mereka yang terlibat dalam aktiviti perjudian terbabit beralih kepada cara lain selepas pihaknya menggempur aktiviti itu secara berterusan.

"Kami khuatir dengan impak daripada operasi berterusan ini kerana mereka mungkin akan cari jalan lain (untuk berjudi) sama ada akan main di rumah sahaja secara dalam talian.

"Jika berjudi di rumah, saya difahamkan ia adalah di bawah tugas pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 3:59 PM