NOORZAINY (kanan) menunjukkan melihat operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis melakukan kegiatan perjudian dalam talian di sekitar SPU, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
NOORZAINY (kanan) menunjukkan melihat operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis melakukan kegiatan perjudian dalam talian di sekitar SPU, hari ini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


BERPURA-PURA menawarkan perniagaan berlesen, tetapi pada masa sama, menganjurkan judi dalam talian bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Itu modus operandi digunakan sindiket perjudian dalam talian di Seberang Perai Utara (SPU) bagi mengaburi mata pihak berkuasa iaitu dengan menyewa premis kononnya bagi tujuan menjalankan aktiviti perniagaan.

Namun, taktik itu dipatahkan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU ketika menjalankan Ops Dadu bermula 1 Julai hingga 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menyerbu 26 premis menjual pakaian terpakai, kedai runcit dan telefon sekitar daerah itu yang didapati menjalankan kegiatan judi dalam talian dan menahan 15 individu termasuk empat wanita berusia 21 hingga 39 tahun.

"Sindiket ini menjadikan premis perniagaan sebagai markas dan menjual barangan seperti pakaian, telefon serta barangan runcit untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Malah beberapa pemeriksaan didapati pada bahagian pintu depan kedai akan ditebuk lubang untuk mereka berurusan termasuk menjual kad tambah nilai bagi aktiviti perjudian dalam talian.

"Polis percaya kegiatan ini dijalankan 24 jam sehari untuk memudahkan pelanggan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis menjalankan kegiatan judi dalam talian di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, tindakan pemotongan elektrik itu dilaksanakan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Judi Terbuka 1966.

Beliau berkata, sepanjang lebih satu bulan mengadakan operasi berkenaan, polis merampas pelbagai barangan digunakan dalam aktiviti haram itu termasuk wang tunai berjumlah RM3,816.

"Semua yang ditahan sepanjang operasi ini akan didakwa di mahkamah atas pembabitan mereka dalam aktiviti perjudian tidak berlesen.

"Polis akan terus melakukan pemantauan bagi mengekang kegiatan ini daripada terus berleluasa dan berharap masyarakat dapat menyalurkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 9:11 PM