LOKASI diserbu polis. FOTO ihsan pembaca
LOKASI diserbu polis. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Butterworth: Warga emas berusia 77 tahun antara sembilan lelaki yang ditahan polis ketika berjudi di banglo usang yang dijadikan mini kasino di Kampung Benggali di sini, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, polis menyerbu lokasi berkenaan hasil kerjasama wartawan Harian Metro yang melaporkan mengenai kewujudan aktiviti tidak sihat di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, pihaknya menahan sembilan lelaki berusia antara 45 hingga 77 tahun yang sedang leka berjudi di situ.

"Ketika diserbu, ada daripada mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas lokasi berkenaan sudah dikepung pihak kami.

"Lokasi berkenaan dipercayai baru sahaja dijadikan tempat perjudian kerana tersembunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai lebih RM500 dan juga peralatan permainan 'mahjong' serta perkakas judi lain yang digunakan.

Menurutnya, dia mengalu-alukan maklumat orang awam berkenaan kewujudan tempat perjudian sebeginibagi diambil tindakan oleh pihaknya.

Azmi berkata, kesemua mereka kini direman polis bagi tujuan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sabit kesalahan mereka boleh dipernjara enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 6:57 PM