SAHABUDIN ABD MANAN
SAHABUDIN ABD MANAN
BERNAMA

Georgetown: SEBANYAK 23 premis di Pulau Pinang dipotong bekalan elektrik kerana didapati menjalankan perjudian secara haram di sebalik pelbagai perniagaan, dalam operasi khas polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, dalam Ops Dadu Khas bermula 10 pagi itu, pihaknya mendapati premis tersebut perniagaan lain di bahagian hadapan, antaranya kedai runcit, menjual telefon bimbit, kedai tambah nilai telekomunikasi dan barangan terpakai.

"Mereka (ejen perjudian) menggunakan bahagian belakang (premis) untuk menjalankan kegiatan haram dan pelanggan pula terdiri daripada orang dikenali sahaja atau pelanggan tetap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, terdapat premis yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) kerana ejen perjudian akan memantau pergerakan mereka yang hadir ke situ bagi mengelak diserbu pihak berkuasa.

Sementara itu, Sahabudin berkata, sejak awal tahun hingga 19 Ogos lalu sebanyak 556 premis perjudian di seluruh negeri itu diserbu polis dalam usaha membanteras kegiatan judi haram.

Katanya, sepanjang tempoh sama seramai 862 orang ditahan kerana terbabit dengan perjudian dan sebanyak 890 komputer serta telefon bimbit bersama wang tunai RM361,476 telah dirampas.

"Polis Pulau Pinang melancarkan Ops Dadu Khas sejak 18 Ogos lalu bagi mengesan ejen serta rangkaian sindiket perjudian di negeri ini dalam usaha memastikan negeri ini bebas daripada segala kegiatan judi haram.

"Saya juga telah arahkan semua ketua polis daerah untuk mengambil tindakan lebih tegas dengan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tersebut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:49 PM