FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Zuhainy Zulkiffli


ENAM individu termasuk seorang wanita ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai terbabit dengan judi loteri awam dan judi dalam talian di Butterworth, semalam.

Kesemua suspek ditahan dalam enam serbuan berasingan menerusi Op Dadu yang dijalankan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua daripada mereka ditahan di premis sekitar Butterworth, dua lagi di Tasek Gelugor serta masing-masing satu di Mak Mandin dan Seri Pinang.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 46 tahun.

"Turut dirampas ialah peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti haram itu beserta wang tunai berjumlah RM353.

"Serbuan juga turut dijalankan bersama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU," katanya.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1) (c) akta yang sama.

"Polis sentiasa memantau serta membanteras kegiatan judi loteri awam dan judi dalam talian bagi memastikan daerah ini bebas daripada aktiviti tidak sihat berkenaan.

"Orang awam juga diminta menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 7:09 PM