DATUK Aidi Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis pada perhimpunan bulanan di IPK Sarawak, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DATUK Aidi Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis pada perhimpunan bulanan di IPK Sarawak, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis Sarawak menetapkan empat fokus dan hala tuju dalam memperkasa imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membanteras penyalahgunaan dadah di negeri berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya memberi tumpuan utama dengan memperhebatkan usaha membanteras dadah yang menjadi kebimbangan masyarakat.

Menurutnya, selain menyumbang kepada peningkatan kes jenayah, penyalahgunaan dadah juga menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga dan ekonomi.

"Sehubungan itu, seluruh warga polis perlu berganding bahu merealisasikan impian rakyat Sarawak melihat negeri ini bebas daripada kegiatan jenayah dadah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, polis Sarawak turut memberi fokus untuk mengutamakan disiplin dalam setiap penugasan serta menzahirkan taat setia kepada pucuk pimpinan dan pasukan.

"Sebelum melakukan sesuatu tindakan, kita harus memikirkan sama ada ia akan membawa implikasi yang boleh memudaratkan pasukan.

"Imej pasukan yang tercalar akan memadamkan segala pengorbanan dan khidmat yang kita sumbangkan kepada masyarakat," katanya.

Fokus ketiga katanya, ialah melaksanakan tanggungjawab dengan amanah bagi meningkatkan integriti dan jati diri.

"Jauhkan diri daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa selaras dengan frasa 'saya yang menjalankan amanah' sekali gus menjadikan amanah itu ibadah," katanya.

Menurutnya, fokus keempat membabitkan pendekatan bagi meningkatkan hubungan dengan masyarakat.

"Program kepolisan masyarakat perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mewujudkan hubungan erat antara polis dan masyarakat sekali gus memperbaiki sistem penyampaian.

"Apa yang perlu kita tekankan dalam mana-mana urusan dengan masyarakat ialah melalui pendekatan yang berpaksikan cepat, cekap dan mesra pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 2:16 PM