ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO arkib NSTP
ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi atau cuba menyembunyikan sebarang bentuk kesalahan jenayah, salah laku, rasuah, mahupun pelanggaran disiplin dalam kalangan warganya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas mengikut lunas undang-undang dan peraturan jabatan, tetap akan diambil terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati terbabit dengan kesalahan.

Menurutnya, segala inisiatif dan langkah yang diambil untuk menangani salah laku dalam pasukan perlu disegerakan, bagi mengelakkan ia menjadi 'barah' yang secara perlahan-lahan membinasakan PDRM.

"Tindakan pembendungan dan pencegahan adalah lebih penting dan berkesan kerana kita tidak mahu 'nasi menjadi bubur' dan maruah pasukan akhirnya lebur.

"PDRM juga akan sentiasa berusaha memperkasakan integriti seiring dengan dasar kerajaan," katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Jun 2023 anjuran Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Pada majlis itu, Acryl Sani turut menyampaikan Anugerah Integriti kepada enam penerima serta sijil penghargaan kepada 22 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan atas prestasi cemerlang perkhidmatan.

Mengulas lanjut, katanya tindakan di bawah dasar memperkasa governans, integriti dan anti-rasuah sedang giat dilaksanakan melalui Jawatankuasa Antirasuah (JAR) PDRM dan Pelan Antirasuah PDRM (PAPDRM) 2020-2024.

"Untuk itu, saya mengarahkan semua jabatan dalam PDRM dapat memastikan segala inisiatif dan sub-inisiatif yang dirangka di dalam PAPDRM dapat dilaksanakan sepertimana yang direncanakan," katanya.

Dalam pada itu, katanya PDRM memfokus untuk memperkasa aspek integriti dalam pasukan dan menjadikannya indikator terpenting dalam aspek keperibadian penjawat awam yang memegang amanah rakyat.

Menurut beliau, perkara itu selaras konsep Malaysia Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata kelola dan pentadbiran negara secara berkesan, dengan berteraskan nilai, etika dan akhlak diperkenalkan Perdana Menteri.

"Selari dengan hasrat itu, saya juga meletakkan aspek pemerkasaan integriti sebagai salah satu daripada tiga fokus utama yang perlu dihayati oleh seluruh warga PDRM

"Justeru, untuk memastikan fokus ini dapat dicapai, elemen ilmu, penghayatan dan pembudayaan integriti perlu diberi penekanan secara langsung di semua sudut dalaman pasukan," katanya.

Tegas beliau, tugas pemerkasaan integriti bukan terletak di bahu JIPS semata-mata, bahkan semua pihak khususnya pegawai penyelia dari peringkat bawahan sehinggalah kepada peringkat pegawai atasan.

"Semua pegawai penyelia perlu memainkan peranan masing-masing dengan baik," katanya.

Berita berkaitan:

Polis Pahang sahkan Ketua Polis Daerah ditahan

Ketua Polis Daerah ditahan terima rasuah lebih RM1 juta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 11:53 AM