LEBAH bersarang di dalam topi keledar milik pekerja kilang. FOTO ihsan APM Alor Gajah
LEBAH bersarang di dalam topi keledar milik pekerja kilang. FOTO ihsan APM Alor Gajah
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Pekerja kilang di sini nyaris disengat lebah hutan yang hinggap di dalam topi keledarnya petang semalam.

Dalam kejadian 4.25 petang itu, lelaki terbabit ke parkir motosikal untuk pulang ke rumah dan ketika hendak menyarung topi keledar, dia terkejut mendapati lebah bersarang di dalamnya.

Pegawai keselamatan kilang, Bakri Hamdin, 55, berkata, sebaik dimaklumkan kejadian, dia menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah untuk memusnahkan lebah itu.

"Mujur dia tidak terus sarung topi keledar itu, jika tidak mungkin cedera disengat lebah. Terima kasih kepada anggota APM yang menghalau lebah terbabit," katanya dihubungi di sini.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada jam 4.30 petang.

Beliau berkata, anggota APM mengalihkan topi keledar itu ke kawasan selamat sebelum menghalau lebah dengan asap dan operasi selesai 5.15 petang.

"Kejadian ini memang unik kerana lebah hinggap di dalam topi keledar. Kebiasaannya anggota kami banyak mengendalikan kes membakar sarang lebah atau tebuan di pokok dan rumah penduduk," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 12:38 PM