AHMAD Faiz berdaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA dalam Pengajian Islam(Usuluddin). FOTO Aslina Abu Bakar
AHMAD Faiz berdaftar di Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA dalam Pengajian Islam(Usuluddin). FOTO Aslina Abu Bakar
Ahmad Rabiul Zulkifli


PELAJAR terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Kebangsaan 2017, Ahmad Faiz Ibrahim, 19, yang menghidap Cerebral Palsy yang menyambung pengajiannya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak di Kuala Nerus, hari ini, bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Dia yang ditemani ibunya, Zarina Mohd Kasim, 43, dan bapanya Ibrahim Yunus, 48, ke Sesi Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baru Ijazah Sarjana Muda di UniSZA 2017 dan 2018 berasa terharu apabila terpilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam (Usuluddin) di universiti berkenaan dan berkata ia adalah sebagai langkah permulaan kepadanya untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.

"Saya gembira kerana hasrat untuk menyambung pelajaran dan bidang diminati tercapai.

"Pengorbanan ibu dan ayah juga sangat besar dalam memastikan cita-cita saya untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi ini tercapai.

"Jika diberi kesihatan, kemampuan dan cemerlang di peringkat ijazah ini, saya bercadang untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat PhD sekali gus menjadi seorang pensyarah," katanya ketika ditemui selepas sesi pendaftaran.

Ahmad Faiz antara 1,416 penuntut baru yang mendaftar di UniSZA, hari ini.

AHMAD Faiz menunjukkan cara beliau menulis menggunakan dagu dan bibir ketika sesi pendaftaran UniSZA. FOTO Aslina Abu Bakar
AHMAD Faiz menunjukkan cara beliau menulis menggunakan dagu dan bibir ketika sesi pendaftaran UniSZA. FOTO Aslina Abu Bakar

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumnai UniSZA Prof Dr Nik Wan Omar berkata, pihaknya bertuah kerana Ahmad Faiz menyambung pengajian di UniSZA dan akan membantu memberikan segala kemudahan yang bersesuaian kepadanya.

Menurutnya, seperti yang diketahui bahawa Ahmad Faiz adalah pelajar cemerlang dalam peperiksaan STAM dan keputusannya untuk memilih UniSZA adalah satu penghargaan kepada universiti ini.

"Kami akan cuba membantunya sebaik mungkin bagi memastikannya selesa belajar di sini, universiti ini juga mempunyai 10 penuntut orang kurang upaya (OKU) ketika ini dan segala pelbagai kemudahan yang bersesuaian dengan mereka disediakan sama ada di dewan kuliah dan asrama," katanya.

Berita berkaitan:

1,416 penuntut daftar di UniSZA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 2:03 PM