NUR Dhabitah Sabri. FOTO BERNAMA
NUR Dhabitah Sabri. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Selepas melalui tempoh yang sukar sebelum ini, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akhirnya boleh menarik nafas lega apabila terdapat juga wakil negara dalam sukan terjun bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Paris.

Pengarah Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, penantian yang mereka tunggu beberapa bulan itu memang mendebarkan namun ternyata memberi kecerian kepada pasukan terjun negara meskipun ia hadir melalui slot tambahan daripada pihak Akuatik Dunia.

"Sudah pasti kita sangat gembira ada penambahan (slot). Kita pun dah lama tunggu untuk melihat sama ada menerima atau sebaliknya. Untuk acara berkenaan, kita akan hantar Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri) mewakili Malaysia dalam acara itu," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, atlet berusia 25 tahun itu akan membuat penampilan kali ketiga di Paris nanti. Kali pertama dia tampil beraksi adalah di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro 2016 dan kemudian di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada masa sama, Bryan tidak menolak kemungkinan akan ada seorang lagi wakil dalam acara terjun bagi kategori lelaki di Paris nanti yang akan diwakili oleh Ooi Tze Liang.

Namun begitu, beliau menyatakan harapan untuk Tze Liang masih belum pasti kerana perlu menunggu keputusan rasmi pihak Akuatik Dunia pada awal bulan hadapan bagi mengetahui sama ada dia akan mengikuti Dhabitah atau sebaliknya.

"Kita lihat mungkin Ooi Tze Liang boleh juga beraksi di Olimpik Paris. Situasi sama seperti Dhabitah, ada peluang tetapi tipis. Apa pun, kita kena tunggu sampai 8 Julai ini ini untuk mengetahui keputusan rasmi macam mana," katanya.

Sebelum ini, beberapa atlet sandara utama negara seperti Dhabitah dan Wendy Ng Yan Yee termasuk Datuk Pandelela Rinong gagal mendapatkan slot automatik ke Olimpik Paris pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang berlangsung pada Februari lalu.

Dengan slot tambahan yang diberikan itu, ia menyaksikan setakat ini, MAS akan mempunyai dua wakil penerjun di Paris iaitu Dhabitah dan Bertrand Rhodict Lises yang terlebih dahulu melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 4:23 PM