ZAHID Hamidi. FOTO NSTP
ZAHID Hamidi. FOTO NSTP
BERNAMA

Lipis: Umno akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah bagi PRK itu manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan dilantik sebagai pengarah operasi PRK berkenaan.

"Lepas ini, kita akan ke Gua Musang untuk tolong calon kita. Insya-Allah, kalau kita bekerja keras, kerja ikhlas, Allah akan beri kemenangan kepada kita.

"Mudah-mudahan kombinasi ini (Tengku Razaleigh dan Ahmad Jazlan) dapat beri kemenangan kepada kita. Umno Pahang wajib bantu calon kita di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 4:26 PM