BAL Govind (baju hijau) bertemu semula dengan kakaknya Rajkumari selepas 18 tahun berpisah. FOTO Agensi
BAL Govind (baju hijau) bertemu semula dengan kakaknya Rajkumari selepas 18 tahun berpisah. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Gigi sumbing yang dimiliki seorang lelaki menjadi petunjuk kepada seorang kakak sekali gus menemukan semula dua beradik yang terpisah sejak 18 tahun lalu.

India Today melaporkan Rajkumari yang tinggal di kampung Hathipur, Kanpur Uttar Pradesh dapat bertemu semula dengan adiknya Bal Govind selepas terpandang susuk lelaki dengan gigi sumbing itu di Instagram (IG).

Detik perpisahan mereka bermula selepas Bal Govind ke Mumbai untuk mencari pekerjaan akibat desakan ekonomi dan tidak pernah pulang selepas itu.

Sejurus tiba di Mumbai, dia meninggalkan rakan-rakannya yang turut sama merantau dengan bekerja di tempat lain.

Pada mulanya Bal Govind sentiasa berhubung dengan rakan-rakannya, tetapi lama-kelamaan hubungan mereka terputus.

Semua rakannya pulang semula ke kampung tetapi Bal Govind terus bekerja di Mumbai.

Namun, pada suatu hari dia memutuskan untuk menaiki kereta api pulang ke kampung halaman Inayatpur di Fatehpur kerana jatuh sakit.

Malangnya, kereta api membawanya ke Jaipur dan bukannya ke laluan kampungnya di Kanpur.

Setiba di Jaipur, Bal Govind yang keletihan dan bingung bertemu dengan seorang lelaki di stesen kereta api yang kemudian memberinya pekerjaan di sebuah kilang selepas kesihatannya bertambah baik.

Dia kemudian membina kehidupan baharu di Jaipur, dan berkahwin dengan seorang gadis bernama Ishwar Devi serta mempunyai dua anak.

Ketika itu, dia menemui minat baharu dengan memuat naik hantaran mengenai kehidupannya di IG, mempamerkan pemandangan Jaipur.

Satu daripada videonya dilihat oleh Rajkumari, dan wanita itu mengecam gigi sumbing dimiliki Bal Govind.

Rajkumari kemudian menjejaki lelaki itu menerusi ruang kenalan dan maklumat mengenai kenangan zaman kanak-kanak mengesahkan mereka adalah adik beradik.

Dia kemudian menghubungi adiknya dan merayu supaya pulang ke rumah.

Pada 20 Jun, Bal Govind tiba di Hathipur dan bertemu semula dengan kakaknya selepas 18 tahun berpisah.

"Mereka mengatakan perkara yang baik tidak datang dari media sosial, tetapi kadangkala, video ringkas boleh menyegarkan semula ingatan dan mengubah segala-galanya.

"Adik saya sudah kembali, dan itulah kebahagiaan terbesar saya," kata Rajkumari dengan linangan air mata kegembiraan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 3:46 PM