AHLI keluarga membantu membawa barang pada hari pertama kemasukkan pelajar di UMK, semalam.
AHLI keluarga membantu membawa barang pada hari pertama kemasukkan pelajar di UMK, semalam.
Hazira Ahmad Zaidi

“ALHAMDULILLAH, doa dan impian untuk menjejakkan kaki ke universiti akhirnya tercapai selepas beberapa kali rayuan permohonan saya ditolak sebelum ini,” kata penuntut baru Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Juliana Abd Kadi, 22.

Juliana berkata, selepas memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2016 dia memohon untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) namun gagal.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Perdagangan UMK itu berkata, dia tidak pernah berputus asa dan menghantar permohonan setiap kali sesi pengambilan dibuka.

“Sepanjang tiga tahun saya tak putus asa untuk mencuba, akhirnya kali ini saya berjaya, sekali gus merealisasikan impian arwah ayah mahu melihat saya masuk universiti.

 PELAJAR OKU, Ikmal Mustafa Musbah (berkerusi roda) dan Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir (kanan) bergerak ke bilik penempatan ketika sesi pendaftaran pelajar baru Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

“Arwah ayah meninggal dunia pada Februari 2011 selepas terjatuh dalam sungai ketika hendak mengambil wuduk.

“Kejayaan ini dikongsi bersama ibu, Mesrawati Muslim, 50, dan adik-beradik lain,” katanya pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baru UMK di Kampus Kota di sini, semalam.

Sementara itu, bagi Thanushiya Balan, 21, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Peruncitan berkata, dia menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selepas menduduki STPM pada 2017.

“Saya menolak tawaran itu kerana mahu melanjutkan pengajian ke universiti awam dan UMK menjadi pilihan.

 GELAGAT pelajar ketika sesi pendaftaran pelajar baru Universiti Putra Malaysia (UPM).
GELAGAT pelajar ketika sesi pendaftaran pelajar baru Universiti Putra Malaysia (UPM).

NAIB Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Dr Aini Ideris (dua dari kanan) beramah mesra dengan  atlet negara yang mendaftar sebagai pelajar baru.
NAIB Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Dr Aini Ideris (dua dari kanan) beramah mesra dengan atlet negara yang mendaftar sebagai pelajar baru.

“Selama dua tahun saya menunggu peluang ini dan akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke sini walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga yang menetap di Kulim, Kedah,” katanya yang juga anak kedua daripada tujuh beradik.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, seramai 2,617 penuntut baru mendaftar bagi sesi 2019/2020.

Beliau berkata, penuntut mengikuti 32 program pengajian akademik peringkat Ijazah Sarjana Muda mendaftar di ketiga-tiga kampus UMK iaitu di Kampus Kota, Bachok dan Jeli.

“Mengikut pecahan, seramai 1,600 mahasiswa mendaftar di Kampus Kota, 800 di Bachok dan bakinya di Jeli.

“Alhamdulillah, pendaftaran mahasiswa pada tahun ini meningkat berbanding pada tahun lalu iaitu hanya 2,300 mahasiswa yang mendaftar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:06 AM