Roslinda Roslen, 19, (kiri depan) bersama rakan-rakan selepas selesai proses pendaftaran pelajar di Politeknik Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Roslinda Roslen, 19, (kiri depan) bersama rakan-rakan selepas selesai proses pendaftaran pelajar di Politeknik Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua penuntut baru yang juga generasi kedua Felda berbangga apabila impian menyambung pelajaran di Politeknik Port Dickson tercapai.

Najla Nurhuda Saharuddin, 19, yang mengambil kos Diploma Pemasaran di Politeknik Port Dickson menyifatkan latar belakangnya sebagai cucu peneroka Felda di Bandar Baru Serting adalah satu keistimewaan.

Katanya, Felda banyak mengubah kehidupan dia sekeluarga selaku peneroka.

"Pengurusan Felda juga memberi biasiswa dan peluang kepada generasi pewaris Felda melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Sebagai generasi baru Felda, dia teruja untuk menyambung pelajaran di politeknik itu," ujarnya sebaik selesai mendaftar di Politeknik Port Dickson tadi.

Rakannya, Roslinda Roslen, 19, daripada Felda Palong 8, Jempol menyatakan rasa bertuah sebaik mendapat tahu permohonannya mengambil jurusan Diploma Pemasaran berjaya.

"Saya berharap dapat membantu keluarga suatu hari nanti. Saya dimaklumkan penuntut Politeknik dilatih untuk berdikari dan mampu membina kerjaya masa depan.

Saya percaya Politeknik Port Dickson adalah lokasi strategik bagi mencapai impian kerjaya diidamkan," kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azhar Rostani berkata, pendaftaran kemasukan penuntut baru diuruskan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) PPD secara pandu lalu.

"Ia bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19. Seramai 400 penuntut baharu mendaftar dan proses pendaftaran berjalan lancar mengikut SOP ditetapkan.

"Penuntut sahaja dibenarkan untuk menurunkan barangan kelengkapan dan keperluan sementara pengiring atau ibu bapa perlu meninggalkan kampus.

"Penuntut baru ini akan dibantu Ahli Jawatan Kuasa Pelajar dan petugas bagi proses kemasukan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 3:37 PM