SITI Zulaikha gembira menunjukkan keputusan STAM 2017. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Zulaikha gembira menunjukkan keputusan STAM 2017. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


“INI hadiah buat ibu bapa angkat saya, selain penghargaan untuk diri saya sendiri,” kata Siti Zulaikha Abdullah, 19, yang memperoleh 9 Mumtaz (cemerlang) bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), hari ini.

Menurut pelajar Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu itu, hanya kecemerlangan dalam pelajaran sahaja yang mampu diberikan sebagai hadiah untuk menghargai pengorbanan ibu bapa angkatnya.

Katanya, bapa angkat, Ahmad Yusoff, 53, bekerja sebagai buruh, manakala ibu angkatnya, Siti Nurbayaa Ismail, 49, mengambil upah RM10 sehari untuk mengasuh anak jiran.

"Mereka sudah banyak berkorban untuk menjaga saya sejak kecil. Hanya kejayaan dalam pelajaran dapat saya beri untuk balas jasa mereka dan Insya-Allah selepas ini dapat lanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Saya bercita-cita untuk mendalami Bahasa Arab atau bidang Syariah dan mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir," katanya ketika ditemui di sekolahnya, hari ini.

Siti Zulaikha berkata, dia mengamalkan solat hajat setiap Maghrib dan tengah malam, selain mengulangkaji pelajaran selama tiga ke empat jam sehari.

Dia yang tinggal di Kampung Penambang, Kota Bharu turut mendapat tunjuk ajar rakannya, Hanis Zawani Mohd Jaafar, 19, dan Izzah Syuhadah Mohd, 19, yang memperoleh 10 Mumtaz dan diraikan di Putrajaya.

PELAJAR cemerlang menunjukkan keputusan STAM selepas diumumkan di Dewan Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bhaur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PELAJAR cemerlang menunjukkan keputusan STAM selepas diumumkan di Dewan Sekolah Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bhaur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan STAM 2017 negeri mencatatkan peningkatan 0.93 peratus berbanding tahun sebelumnya 61.29 peratus.

Katanya, 19 pelajar mendapat pencapaian terbaik 10 Mumtaz bagi semua mata pelajaran, berbanding 1,956 calon berdaftar dari 24 sekolah di seluruh negeri dan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Daripada itu juga, 139 pelajar memperoleh Mumtaz.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 5:49 PM