AHMAD Faiz bersama ibunya, Zalina Mohd Kasim, 42, menunjukkan syarat permohonan ke IUM. FOTO Syamsi Suhaimi
AHMAD Faiz bersama ibunya, Zalina Mohd Kasim, 42, menunjukkan syarat permohonan ke IUM. FOTO Syamsi Suhaimi
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Pelajar istimewa yang memperoleh Mumtaz (cemerlang) bagi 10 mata pelajaran dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 akan dibantu untuk melanjutkan pengajian ke Islamic University of Madinah (IUM) di Arab Saudi.

Ahmad Faiz Ibrahim, 19, penghidap Cerebral Palsy yang menyebabkan kecatatan hingga terpaksa menulis menggunakan bantuan dagu dan mulut memperoleh kejayaan cemerlang itu sekali gus bukti orang kurang upaya (OKU) juga mampu berjaya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan ditunjukkan remaja terbabit dan mahu menjadikannya contoh buat remaja lain.

Katanya, untuk kesenangan Ahmad Faiz juga, Biro Insitut Pengajian Tinggi (IPT) Pergerakan Pemuda UMNO di bawah bimbingan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya akan membantunya menguruskan permohonan melanjutkan pengajian ke IPT pilihan.

"Dr Fathul Bari akan membantu urusan permohonan ini untuk membolehkan Ahmad Faiz melanjutkan pengajian pada sesi pengambilan pada Julai atau Ogos ini.

"Berdasarkan keadaan Ahmad Faiz yang memerlukan sokongan 90 peratus untuk bergerak, ahli keluarga perlu menjadi peneman sekiranya dia menyambung pengajian di universiti berkenaan.

"Saya difahamkan keluarganya sanggup untuk sentiasa di sisi Ahmad Faiz dan kita sangat berbangga dengan pencapaian anak muda ini," katanya.

Beliau terdahulu melawat Ahmad Faiz di rumahnya di Pengkalan Demit, Kubang Kerian, di sini, hari ini dan menyampaikan sumbangan dengan diiringi Dr Fathul Bari dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kunjungan itu kerana mahu menghargai insan istimewa seperti Ahmad Faiz dan menyokong semangat juangnya untuk berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:44 PM