TINJAUAN di stesen minyak berdekatan dengan sempadan Kelantan -Thailand. FOTO arkib NSTP
TINJAUAN di stesen minyak berdekatan dengan sempadan Kelantan -Thailand. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak di kawasan sempadan bagi menangani penyeludupan petrol dan diesel akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan bersama beberapa pengusaha stesen minyak yang dikenal pasti untuk pemasangan alat keselamatan itu.

Beliau berkata, CCTV yang akan dipasang dalam masa terdekat itu akan dilengkapi sistem wifi yang boleh diakses terus kepada pejabat KPDN tanpa pasukan penguatkuasa hadir ke premis terbabit.

"Masih di peringkat perbincangan kerana stesen minyak ada dua jenis iaitu milik peribadi dan syarikat jadi kita perlukan sedikit lagi masa.

"Apa yang pasti pemasangan CCTV itu akan dibuat di separuh dulu (stesen minyak) iaitu sekitar 25 kilometer (km) dari sempadan negara dan bukan dipasang secara serentak semuanya," katanya hari ini.

Azman berkata, sekurang-kurangnya dua unit CCTV diperlukan di setiap stesen minyak namun bergantung kepada pemilik premis untuk pemasangan di sudut yang difikirkan sesuai.

Menurutnya, kerjasama dan maklum balas yang diterima daripada pengusaha stesen minyak juga sangat baik malah ada antaranya sudah tidak sabar untuk memasang alat keselamatan itu.

"Semua pengusaha stesen minyak yang ditemui memberi respon baik dan memuji akan langkah yang dibuat ini malah ramai dalam kalangan mereka sudah bertanya bila akan mula (pemasangan CCTV),'" katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azman memaklumkan sebanyak 155 permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) diterima pihaknya untuk dua program Hari Terbuka SKDS.

Katanya, mana-mana individu yang sudah berdaftar namun belum menerima 'fleet card' boleh menyimpan resit pengisian diesel yang dibuat seterusnya boleh dituntut melalui Budi Madani.

"Untuk dapatkan fleet card selepas mendaftar mengambil sedikit masa antara seminggu hingga dua minggu dan minta orang ramai simpan resit dan boleh tuntut nanti di bawah Budi Madani, hanya 'key in' saja.

"Kita alu-alukan orang ramai untuk mendaftar SKDS ini dan mungkin ramai yamg kurang faham berkaitan kelayakan menyebabkan mereka tidak mendaftar dan kita mohon isi secara dalam talian kerana dari situ orang ramai boleh tahu sama ada layak atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 3:58 PM