Anggota APM Segamat menunjukkan tedung selar lima meter yang ditangkap di belakang rumah penduduk di Perumahan Awam Jalan Pemuda, Segamat, semalam. FOTO Ahmad Ismail
Anggota APM Segamat menunjukkan tedung selar lima meter yang ditangkap di belakang rumah penduduk di Perumahan Awam Jalan Pemuda, Segamat, semalam. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


TEDUNG selar sepanjang lima meter ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat di belakang rumah penduduk Perumahan Awam Jalan Pemuda, Segamat, Johor 5.40 petang semalam.

Ketua APM Segamat Leftenan (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, reptilia seberat kira-kira 10 kilogram itu ditangkap empat anggotanya yang tiba di lokasi beberapa minit selepas menerima panggilan daripada penghuni rumah berkenaan.

Katanya, anggota APM mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap tedung selar jantan yang bersembunyi di dalam semak di belakang rumah berkenaan.

"Anggota kami terpaksa berhati-hati ketika menangkapnya kerana haiwan itu agak agresif tetapi dengan latihan yang ada, ia berjaya ditangkap," katanya.

Mohd Nazlan berkata, reptilia berbisa itu yang dianggarkan berusia dua tahun diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 4:22 PM