ANGGOTA APM Alor Gajah menunjukkan tedung selar yang ditangkap. FOTO Nazri Abu Bakar
ANGGOTA APM Alor Gajah menunjukkan tedung selar yang ditangkap. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: "Ular itu memang besar dan memandang tepat ke arah kami," kata Norliyana Juhari, 31, yang ternampak ular tedung selar di dalam longkang di depan rumahnya di Taman Sebang Gemilang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Norliyana bersiap membawa tiga anaknya termasuk bayi berusia sembilan bulan menaiki motosikal.

"Ketika hendak mengambil motosikal, sekilas pandangan saya ternampak ular itu berdiri di dalam longkang di hadapan rumah.

"Saya bergegas membawa anak-anak masuk ke dalam rumah dan memberitahu suami sebelum menelefon Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah," katanya dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, ular itu dipercayai keluar dari kawasan semak dan ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya.

"Mujur saya ada menyimpan nombor APM kerana sebelum ini ada kes ular sawa. Memang saya lega dengan tertangkapnya ular tedung itu, tapi agak bimbang kerana ada jiran taman mendakwa melihat ada seekor lagi ular dipercayai pasangannya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, dua pegawai dan tiga anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 petang.

Katanya, anggota diketuai Leftenan Muda (PA) Hanis Farahana Mohamad Zaki terus mengesan ular berkenaan dan menemui ia bersembunyi di dalam longkang.

"Selepas memastikan jenisnya, anggota APM cuba menangkap reptilia berbisa itu menggunakan penjerut, namun ia enggan keluar.

"Anggota saya terpaksa menjolok ular itu keluar sebelum menangkapnya dalam masa 10 minit," katanya.

Katanya, ular seberat kira-kira 10 kilogram itu akan dilepaskan ke habitat asal jauh dari kawasan penempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:33 PM