ZAHID ketika mengetuai mesyuarat JKKPA-PATI, semalam.
ZAHID ketika mengetuai mesyuarat JKKPA-PATI, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk menambah kekerapan pemeriksaan kesihatan pekerja asing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengelakkan peningkatan kes penyakit berjangkit di negara ini.

Menurutnya, mulai 1 Januari 2018, pekerja asing diwajibkan menjalani pemeriksaan sedia ada (sebelum berlepas, dalam tempoh sebulan selepas berada
di Malaysia, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua) serta saringan tambahan.

“Pemeriksaan kesihatan tambahan perlu dibuat pada setiap dua tahun iaitu pada tahun keempat, keenam, kelapan dan ke-10 selaras dengan tempoh penggajian maksimum selama
10 tahun.

“Mesyuarat Jawatankuasa pada hari ini (semalam) turut mengambil maklum bahawa majikan juga lebih cenderung untuk menggajikan pekerja asing kerana kos yang lebih rendah.

“Bagi menggalakkan penggajian pekerja tempatan yang lebih banyak, cadangan bagi meningkatkan levi secara progresif dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif dan kompetitif sudah dipertimbangkan dan dipersetujui,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI)
di Parlimen, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kadar levi progresif berdasarkan bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan pada 2019 selepas sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh yang lain dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 5:39 AM