AHMAD Zahid pada Majlis Perasmian Rapat Alumni Nusantara di UIAM.
AHMAD Zahid pada Majlis Perasmian Rapat Alumni Nusantara di UIAM.
Intan Mas Ayu Shahimi


Gombak: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengatur pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Hanif Dhakiri untuk berbincang mengenai keengganan republik itu menghantar masuk pembantu rumah ke negara ini yang tersebar menerusi media tempatan dan antarabangsa.

Jelas Ahmad Zahid, antara perkara yang hangat diperkatakan ketika ini ialah elemen menentukan supaya pembantu rumah Indonesia di Malaysia bekerja mengikut waktu dan diberikan pelepasan tertentu.

“Saya merasakan bahawa penelitian harus dilakukan terhadap kenyataan terbabit kerana apa yang saya peroleh ketika ini hanya menerusi pembacaan di media.

“Justeru, saya perlu mendapatkan perincian terhadap syarat-syarat baru ini, apatah lagi jika gaji minimum yang disebutkan adalah di luar persetujuan awal kita sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Rapat Alumni Nusantara di Dewan Utama Pusat Aktiviti Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI), Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata, masih banyak ruang untuk Malaysia dan Indonesia berunding, sekali gus memperincikan semula kenyataan terbabit.

“Saya tidak fikir pihak Indonesia berniat untuk menyukarkan situasi di Malaysia.

“Pada hemat saya, masih banyak ruang bagi kerajaan Malaysia dan Indonesia untuk berunding bagi menyelesaikan perkara ini.

“Sekalipun banyak negara luar berdepan masalah, namun Malaysia sedia memberi jaminan yang lebih baik dan perkara sebegini kerap dibincangkan bersama Duta Indonesia di Malaysia secara tidak formal,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) berkata, kerajaan Malaysia sudah melaksanakan beberapa piawaian yang ditetapkan Indonesia berhubung penggajian pembantu rumah di Malaysia, termasuk memberi keutamaan kepada kebajikan mereka.

“Malah kita melakukan lebih daripada itu semata-mata mengutamakan pembantu rumah dan pekerja Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan majikan supaya mendapatkan dokumen sah bagi pekerja asing tanpa izin mereka sebelum tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula Pekerja Asing Tanpa Izin tamat, 30 Jun depan.

“Saya harap majikan tidak akan menuding jari menyalahkan kerajaan jika selepas 30 Jun depan pekerja asing mereka ditahan.

“Kita juga tidak mahu penahanan pekerja tidak berdaftar nanti dijadikan alasan oleh mana-mana persatuan yang membela majikan atau pekerja untuk bertindak bercanggah dengan matlamat kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Rapat Alumni Nusantara bagi pembangunan penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, Malaysia dan Indonesia sebagai satu rumpun besar yang mempunyai banyak persamaan daripada aspek budaya dan bahasa, perlu berusaha mencari persamaan untuk memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:21 AM