Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Dua puluh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini didakwa terbabit komplot menggulingkan kerajaan tidak pernah didekati untuk menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong gerakan itu.

Perkara itu disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa individu yang dikatakan akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Ahad lalu membatalkan pertemuan kerana kediaman Perdana Menteri dihadiri ramai wartawan.

"Saya tidak tahu bila pertemuan seterusnya akan dilakukan namun, saya pasti ia akan diadakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Perdana Putra.

Zahid juga enggan mendedahkan nama individu berkenaan yang terbabit komplot berkenaan kerana ia akan mengganggu siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 5:47 PM