Ismail (tiga dari kanan) ketika melepaskan anak penyu di Pantai Paka. FOTO Rosli ilham
Ismail (tiga dari kanan) ketika melepaskan anak penyu di Pantai Paka. FOTO Rosli ilham
Rosli Ilham


JABATAN Perikanan akan memperkenalkan jaket keselamatan berteknologi tinggi yang mampu mengesan kedudukan nelayan yang ditimpa musibah di tengah laut.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hasan berkata,jaket keselamatan terbabit yang dikenali sebagai 'personal beacon' akan dihubungkan dengan satelit.

Menurutnya, sekiranya nelayan terjatuh ke dalam laut, jaket keselamatan itu akan berfungsi secara automatik.

"Sebaik terendam 'personal beacon' itu akan berkelip sekali gus akan dapat dikesan oleh ibu pejabat kami di Putrajaya.

"Jaket keselamatan ini berharga RM1,100 seunit dan ia akan kita perkenalkan dan agihkan kepada 30 nelayan untuk pengenalannya.

"Nelayan boleh membelinya kerana ia mendatangkan manfaatkan kepada mereka sekiranya berlaku bencana di laut," katanya di majlis pelepasan 1,400 anak penyu bersama The Qamar Paka di Pantai Paka, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Zawawi Ali, Pengurus Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd Norhana Harun, Ketua Pegawai Eksekutif BP Petronas Acetyles Sdn Bhd Samsuraji Jaafar dan Pengurus The Qamar Paka Abdul Manan Manaf.

Menurut Ismail, jaket keselamatan itu akan dikuatkuasakan pengunaannya selewat-lewatnya pada akhir tahun ini dan ia akan dilancarkan di Terengganu.

Katanya, jaket keselamatan itu adalah sebagai usaha untuk mengelak nelayan lemas dan sukar dicari apabila berhadapan dengan bencana.

"Pengunaan jaket keselamatan itu juga merupakan syarat wajib yang dikenakan sekiranya nelayan ingin menyambung lesen bot mereka."Sekiranya mereka gagal menyediakan jaket keselamatan itu maka kita tidak akan menyambung lesen mereka," katanya.

Empat nelayan di negeri ini masih hilang dalam dua kejadian berasingan di Kuala Dungun dan di perairan berdekatan Kampung Jambu Bongkok, Marang.

Tiga nelayan, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, bersama dua lagi rakannya, Che Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, hilang selepas bot mereka terbalik pada 2 Ogos lalu.

Seorang lagi nelayan yang hilang dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui lemas kira-kira 300 meter dari lokasi pada pagi dua hari kemudian.

Dalam satu lagi kejadian, Zakaria Omar, 58, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar memukat ikan di perairan Kampugn Jambu Bongkok kira-kira 6 pagi pada 12 Ogos lalu.

Isterinya, Fatimah Ibrahim, 50, kemudiannya pergi ke pengkalan nelayan untuk mencarinya sebelum memaklumkan kepada nelayan lain.

Bot gentian kaca yang digunakan mangsa kemudiannya ditemui tersadai di tepi pantai dekat Kampung Rantau Abang kira-kira 6.30 petang hari yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 10:35 PM