Kakitangan Jabatan Perikanan meletakkan telur penyu Belimbing yang ditemui ke dalam bekas khas untuk dieram. FOTO Rosli Ilham
Kakitangan Jabatan Perikanan meletakkan telur penyu Belimbing yang ditemui ke dalam bekas khas untuk dieram. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SELEPAS kira-kira tujuh tahun 'hilang' akhirnya seekor penyu Belimbing mendarat dan bertelur di Rantau Abang, Dungun, awal pagi hari ini.

Penyu terbabit mendarat di kawasan Pantai Rhu Cikgu di sempadan Rantau Abang dan Jambu Bongkok sebelum bertelur sebanyak 92 biji.

Seorang pemajak telur penyu, Hasang Husing, 60, berkata, dia menyedari penyu berkenaan mendarat di pantai terbabit ketika membuat rondaan di kawasan itu kira-kira 6 pagi.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat jejak pendaratan yang sangat besar di pesisir sebaik tiba kawasan pantai berkenaan.

"Saya sangat terharu kerana tahu ia adalah kesan daripada pendaratan penyu Belimbing sebelum saya mencari sarangnya bertelur.

"Alhamdulillah selepas menggalinya saya menemui sebanyak 92 biji telur sebelum segera menghubungi kakitangan Jabatan Perikanan, bagi memaklumkan mengenainya," katanya yang sudah 30 tahun memajak telur penyu di kawasan terbabit.

Menurutnya, dia sangat merindui dengan kehadiran penyu Belimbing kerana sudah lama tidak mendarat dan bertelur di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, telur penyu terbabit segera dibawa ke Pusat Santuari Penyu Rantau Abang untuk dieram.

Menurutnya, pihaknya berharap telur yang dieram itu akan menetas sepenuhnya dan sebahagiannya akan dipelihara manakala selebihnya akan dilepaskan ke laut.

"Kehadiran penyu terbabit sangat menggembirakan kita semua memandangkan rekod sebelum ini mencatatkan kali terakhir spesis itu bertelur di Rantau Abang pada 2010," katanya.

Zawawi berkata, seekor ibu penyu biasanya akan mendarat untuk bertelur sehingga lima kali semusim dan ia dijangka akan mendarat semula pada 19 dan 30 September nanti.

"Oleh itu, saya sudah arahkan kakitangan di bahagian terbabit agar dapat membuat pemantauan di sekitar kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan penyu untuk bertelur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:28 PM