Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Empat nelayan diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas bot mereka hampir karam kira-kira lima batu nautika di barat daya Kuala Kedah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, kesemua nelayan terbabit diselamatkan anggota bot Perkasa 1226 pada 10.48 malam sebaik menerima panggilan kecemasan.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada 9.55 malam daripada tekong memaklumkan bot pukat tunda kelas C hampir karam akibat mengalami kebocoran.

Menurutnya, sebuah bot dihantar ke lokasi kejadian dan menemukan bot nelayan berkenaan dalam keadaan separuh tenggelam.

Nelayan yang cedera di lengan diberi rawatan oleh petugas KKM selepas diselamatkan APMM ketika bot yang dinaiki hampir karam. FOTO IHSAN APMM
Nelayan yang cedera di lengan diberi rawatan oleh petugas KKM selepas diselamatkan APMM ketika bot yang dinaiki hampir karam. FOTO IHSAN APMM

"Usaha menyelamatkan mangsa menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan laut bergelora.

"Empat nelayan termasuk tekong berusia 49 hingga 65 tahun yang berjaya diselamatkan dibawa balik ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

"Salah seorang mangsa yang cedera di lengan kanan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, untuk rawatan," katanya.

Katanya, pihak APMM mengingatkan mereka yang melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 1:46 PM