LIMA nelayan yang berhadapan detik cemas berdiri di atas bot mereka yang terbelah dua selepas dilanggar sekumpulan jerung paus di Pulau Balar, Langkawi. FOTO Ihsan APMM
LIMA nelayan yang berhadapan detik cemas berdiri di atas bot mereka yang terbelah dua selepas dilanggar sekumpulan jerung paus di Pulau Balar, Langkawi. FOTO Ihsan APMM
Hamzah Osman

Langkawi: Lima nelayan melalui detik cemas sebelum diselamatkan apabila bot mereka karam akibat dilanggar sekumpulan jerung paus di perairan berhampiran Pulau Balar di sini, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, nelayan terbabit berusia di antara 23 hingga 58 tahun diselamatkan bot nelayan lain yang berada berhampiran.

"Mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu.

"Mangsa memaklumkan bot mereka terbelah dua akibat dilanggar sekumpulan jerung paus di kawasan kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, terdahulu Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat kejadian daripada orang awam menerusi MERS 999 pada jam 7.30 malam.

"Sejurus itu APMM menggerakkan Bot Kilat 6 yang juga bot khas carilamat bagi mengesan lokasi bot terbabit.

"Kelima-lima mangsa dilaporkan ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran sebelum ketibaan anggota Maritim Malaysia," katanya.

Beliau berkata, komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut, selain digalakkan juga membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 4:34 PM