Suspek kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan salah guna peralatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO hiasan
Suspek kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan salah guna peralatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. FOTO hiasan
Siraj Mohd Zaini


MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini, membebaskan dan melepaskan suspek kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais daripada tuduhan salah guna peralatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), antara tahun 2010 hingga 2012.

Hakim Slamat Yahya berkata, tertuduh yang juga pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 54, bersama seorang lagi tertuduh, bekas pembantu juruteknologi makmal HATTM Yazid Lamin, 47, didapati tidak bersalah selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

“Pada peringkat ini, selepas mahkamah meneliti semua keterangan, mendapati pendakwaan gagal membuktikan kerana tiada asas yang menunjukkan tiga alatan gagal didaftarkan dengan sempurna dalam rekod HATTM.

“Tindakan saksi pendakwaan ke-12 (kakitangan HATTM) tidak kredibel. Berikutan itu, OKT 1 (Dr Kunaseegaran) dan OKT 2 (Yazid) dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Bagi enam pertuduhan itu, Dr Kunaseegaran didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat 'Microtome', 'Microtome Rotary System' dan 'Circular Parafin Floating Bath' tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini, pada Jun 2010 dan April 2012.

Sabit kesalahan, Dr Kunaseegaran boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Yazid yang juga bekas pegawai waran tentera, dituduh bersubahat dengan Dr Kunaseegaran dengan membawa keluar harta kepunyaan hospital itu antaranya alat 'Microtome' berjenama Thermo Shandon Finesse E+ dan 'Microtome Rotary System' berjenama Leica tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Clinipath (Malaysia) Sdn Bhd, No 23, Galeri Empire, Jalan Empayar, Off Persiaran Sultan Ibrahim/KU 1, Klang, Selangor pada Jun 2010.

Dr Kunaseegaran, yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh dekat sini, menghadapi pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki lain dalam kes pembunuhan Kevin Morais, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 9:23 PM