FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

TERTUDUH ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui di dalam tong berisi konkrit, empat tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia mempunyai bukti terhadap semua kejadian yang menimpa Kevin Morais.

S. Ravi Chandaran, 48, yang juga saksi pembelaan keenam juga sekali lagi menegaskan kepada mahkamah segala keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan kes itu adalah betul dan bukan rekaan.

“Perkara yang berlaku (terhadap Kevin Morais), adalah benar. Setiap perkara yang berlaku pada masa ini ada bukti, semua cerita yang saya cakap, saya ada bukti,” katanya ketika pemeriksaan semula peguam A.Sheelan yang mewakilinya pada prosiding membela diri, hari ini.

Sheelan adalah peguam baharu yang dilantik Ravi Chandaran untuk mewakilinya menggantikan peguam terdahulu, V.Rajehgopal.

Ravi Chandaran memberitahu demikian selepas diminta oleh Sheelan untuk menjelaskan kenapa pada perbicaraan sebelum ini tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan dia menuduh pegawai penjara, adik Kevin Morais, Richard Morais dan peguamnya terdahulu, Rajehgopal dengan pelbagai cerita rekaan semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri.

Menjawab soalan Sheelan bahawa Ravi Chandaran cuba membabitkan tertuduh pertama, doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran dalam kes pembunuhan itu, tertuduh berkata, kematian Kevin Morais bukan disebabkan olehnya tetapi disebabkan Dr Kunaseegaran.

“Kematian Kevin Morais bukan sebab saya, saya pernah beritahu mahkamah, kematian Kevin Morais sebab doktor,” katanya.

R Dinishwaran; A K Thinesh Kumar; M Vishwanath; S Nimalan; Ravi Chandaran dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No. 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 27; Thinesh Kumar, 26; Vishwanath, 29; dan Nimalan, 26 diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 56, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan serta pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 21 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 5:53 PM